Anak Dah Masuk Sekolah! Tips Mengekalkan Minat Anak ke Sekolah Daripada Pakar Klinikal Psikologi
- urbaneethos
- Mar 13
- 2 min read
Apabila anak sudah mula bersekolah, cabaran seterusnya bagi ibu bapa ialah mengekalkan semangat dan minat mereka untuk terus belajar dan menikmati pengalaman di sekolah. Berikut adalah beberapa cara yang boleh membantu:
Wujudkan Rutin yang Konsisten
Pastikan anak mempunyai rutin harian yang konsisten, termasuk waktu tidur yang mencukupi dan persediaan awal ke sekolah. Rutin yang baik membantu mereka lebih bersedia dan bersemangat.
Jika rutin anak-anak berubah terlalu kerap, mereka mungkin rasa risau dan cepat penat. Jika rutin anak-anak perlu diubah, cerita kepada mereka sebelum melakukan perubahan, supaya mereka boleh menjangka apa yang bakal berlaku.

Tunjukkan Minat Terhadap Pembelajaran Mereka
Sentiasa bertanya kepada anak tentang apa yang mereka pelajari di sekolah. Contoh soalan yang boleh ditanya adalah:
"Apa benda baru yang kamu pelajari hari ini?"
"Ada aktiviti seronok yang kamu buat di sekolah tadi?"
"Apa yang kamu rasa susah untuk faham hari ini?"
"Siapa kawan baru yang kamu jumpa hari ini?"
“Ada kawan yang perlukan bantuan awak ke harini?”
Kemudian, berikan pujian dan galakan atas usaha mereka, bukan hanya pada pencapaian akademik.
❌: Baguslah Abang hari ni.
✅: Bagus Abang fokus dan dengar apa cikgu ajar dalam kelas Sains harini walaupon Abang rasa tak faham. Nanti kita ulang kaji sama-sama topik yang susah tu ye.
Puji usaha mereka juga, bukan pencapaian sahaja.
Jadikan Sekolah Sebagai Pengalaman Menyeronokkan
Bantu anak melihat sekolah sebagai tempat yang menarik dengan mengaitkan pembelajaran dengan kehidupan seharian. Contohnya, jika mereka belajar tentang sains, lakukan eksperimen mudah di rumah. Jika mereka belajar kira-kira (Maths), ajak mereka kira-kira semasa membeli barang di kedai.
Jadikan sekolah satu pengalaman yang menyeronokkan Beri Sokongan Emosi
Jika anak mengalami cabaran seperti kesukaran bersosial atau tekanan akademik, dengar dan berikan sokongan. Pastikan mereka tahu bahawa sekolah adalah tempat untuk belajar dan berkembang, bukan sekadar untuk mendapat markah tinggi. Beberapa cara yang boleh dilakukan:
Jika anak mengalami kesukaran berkawan, bantu mereka dengan mengajarkan cara memulakan perbualan atau memberi dorongan untuk menyertai aktiviti berkumpulan.
Jika anak merasa tertekan dengan kerja sekolah, bantu mereka mengurus masa dengan lebih baik atau berbincang dengan guru jika tekanan semakin meningkat.
Sekiranya anak berasa kecewa dengan kegagalan, bantu mereka melihat kegagalan sebagai peluang untuk belajar dan berkembang.
Luangkan masa bersama anak untuk mendengar perasaan mereka tanpa menghakimi, agar mereka tahu mereka sentiasa mempunyai tempat yang selamat untuk berkongsi masalah.
Libatkan Diri dalam Aktiviti Sekolah
Ibu bapa boleh menyertai aktiviti sekolah seperti hari terbuka, sukan, atau program lain. Ini membantu anak melihat bahawa ibu bapa juga menghargai pendidikan mereka.

Bina Hubungan Baik dengan Guru
Hubungan yang baik antara ibu bapa dan guru dapat membantu memahami keperluan dan perkembangan anak dengan lebih baik. Ini juga memberi peluang untuk menangani sebarang isu yang mungkin timbul lebih awal. Jalin kerjasama yang baik dengan guru dan bersikap terbuka terhadap maklum balas mengenai anak anda. Guru juga ingin melihat anak-anak kita berkembang. Tanpa maklum balas, sukar untuk mengenal pasti keperluan mereka dan membantu mereka maju.
Dengan pendekatan yang betul, ibu bapa dapat membantu mengekalkan minat anak untuk ke sekolah dan memastikan mereka terus berkembang dengan positif dalam persekitaran pembelajaran mereka.
Teruskan usaha murni anda, ibu bapa sekalian 🙂
Jika ada apa-apa pertanyaan, atau kalau ada masalah yang khusus yang menyebabkan kesukaran untuk belajar dan ke sekolah boleh hubungi +013-249 0069.